Berita

DUTA 2024: Penghargaan buat tenaga pengajar, pelajar aktif dalam teknologi digital

Satu penganugerahan kepada warga pendidik dan pelajar telah dilaksanakan pada Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, baru-baru ini. 

DUTA 2024 adalah cerminan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkasakan penggunaan teknologi digital dan majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. 

“KPM memastikan pemerkasaan penggunaan teknologi digital secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui penganugerahan pencapaian dan kejayaan murid, guru dan pemimpin pendidikan,” kata KPM menerusi media sosialnya.

Pada majlis itu, pihak kementerian memberi penghargaan kepada murid berdasar kepada penyertaan aktif dalam pelbagai aktiviti penghasilan dan inovasi teknologi digital. 

Selain itu, majlis tersebut juga meraikan komitmen guru memberi kualiti pendidikan yang berteraskan teknologi tersebut. 

Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad. -MalaysiaMADANI