Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memulakan langkah awal penyediaan Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) bagi membina masa depan kumpulan kerja lebih berdaya saing.
Tindakan itu dilakukan menerusi mesyuarat ‘kick-off’ yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof di Menara PERKESO, Putrajaya, pada Rabu.
Menerusi DSMN tersebut, ia bakal menjadi panduan utama bagi menyelaraskan dasar dan pelan tindakan berkaitan kemahiran, pekerjaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, perhubungan perusahaan, kesatuan sekerja, maklumat pasaran buruh serta keselamatan sosial.
Selain itu, DSMN dilihat mampu mendukung misi KESUMA untuk memperkasa rakyat dalam landskap pekerjaan yang semakin dinamik dan mencabar.
“Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan kepada kerangka DSMN yang dibangunkan pada tahun 2024, yang kini diperkembangkan bagi meliputi elemen perburuhan dan pelaksanaan bersepadu merentasi semua agensi dan sektor berkaitan,” kata KESUMA menerusi laman media sosialnya.
Selaras dengan semangat Malaysia MADANI, pembangunan DSMN menekankan teras kebajikan, kemahiran dan keberhasilan.
Menerusinya, semua pihak berkepentingan iaitu pihak kerajaan, industri dan pekerja akan digembleng secara kolektif untuk menghasilkan dasar yang berlandaskan bukti dan keperluan sebenar pasaran buruh negara. -MalaysiaMADANI