Berita

Bukan sekadar sukan, bola sepak elemen penting bentuk perpaduan negara

Meskipun terikat dengan pelbagai tugasan penting negara, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat meluangkan masa hadir ke Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Perdana Menteri menegaskan,  kehadiran beliau ke majlis itu tidak sekadar memenuhi undangan tetapi ia sebagai isyarat jelas bahawa bola sepak adalah sebagai sukan rakyat.

Beliau berkata, sukan popular itu wajar diangkat martabatnya ke tahap lebih membanggakan dan berada di kedudukan baik di peringkat antarabangsa.  

Kata beliau, bola sepak bukan sekadar sukan permainan biasa, ia adalah medium perpaduan yang ampuh merentas kaum, agama dan latar belakang. 

“Namun, kita mesti insaf (sedar) bahawa budaya import (luar) seperti ‘hooliganism’ tidak boleh dinormakan. Budaya sukan harus segar, sihat dan sarat nilai murni,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.  

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus mendukung pembangunan bola sepak tempatan, termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengarusperdanakan pembangunan bakat sejak usia muda. 

Jelas beliau, prasarana sukan negara mesti mencukupi dan akademi mesti ditambah baik dari masa ke masa. 

“Saya telah maklumkan kepada Menteri Wilayah serta pihak Bandaraya agar memainkan peranan sewajarnya. 

“Justeru itu, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyokong inisiatif pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” ujar beliau. 

Selain itu beliau berkata, kerajaan menghargai semangat kepimpinan persatuan serta penaung kelab dalam memartabatkan bola sepak tanah air. 

“Kita angkat bola sepak bukan kerana sukan yang glamor tetapi kerana nilainya yang menyatukan rakyat dan mengharumkan nama negara,” kata Perdana Menteri. -MalaysiaMADANI