ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara berkenaan dinyatakan ketika menghubungi Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
“Usai tiba dari Jakarta malam tadi, saya mengambil kesempatan untuk berbicara bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
“Kami menyentuh mengenai perkembangan semasa di rantau ini, termasuk lawatan beliau ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau,” katanya.
Dalam perbualan berkenaan Anwar turut membincangkan usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden yang mencabar proses tersebut.
Katanya, Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. – MalaysiaMADANI