Di saat kebanyakan anggota delegasi keletihan setelah menghadiri siri lawatan rasmi yang padat di Eropah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terus tekun bekerja ketika pesawat kerajaan membawa beliau dan rombongan menyeberangi benua dari Paris ke Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
Perkara itu dikongsikan sendiri Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi, yang menyifatkan semangat kerja Perdana Menteri sebagai luar biasa dan jauh dari rutin biasa seorang pemimpin negara.
“Saya melihat sendiri kesungguhan YAB PM Anwar Ibrahim yang ingin melonjak negara dengan caranya tersendiri. Di kala staf lain kepenatan… beliau masih tekun meneliti nota dan bersiap untuk ucapan penting di Sidang Kemuncak BRICS,” tulis Farhan dalam satu kenyataan di media sosial.
Langkah itu kata Farhan mencerminkan komitmen Anwar untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam mencorak masa depan global, khususnya dalam platform baharu ekonomi dan geopolitik seperti BRICS.
“Tidak ada ruang untuk bersantai and that has always been his style and rhythm. Following him is not for the faint-hearted,” ujarnya.
Beliau an pada masa sama mengakui usaha seperti ini memerlukan pengorbanan besar dan sering kali berdepan dengan pelbagai kritikan. Namun, katanya, iltizam Perdana Menteri tidak mudah digoyahkan.
“Beliau percaya di kala dunia yang semakin mencabar dan bergelora, Malaysia mesti bergerak ke hadapan dan berpaut pada asas yang kukuh agar kita terus teguh dan tidak ditinggalkan,” katanya.
Beliau kemudian mengakhiri catatan tersebut dengan menyeru rakyat untuk mendoakan agar Perdana Menteri dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan dalam memikul amanah berat membangun sebuah negara yang cekal, berketerampilan dan madani.
“Saya mohon doa yang ikhlas dari semua agar PM terus diberi kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan agar beliau terus pikuk amanah berat ini demi membangun sebuah Malaysia yang cekal, berketerampilan dan madani,” kongsinya lagi.
Sidang Kemuncak BRICS yang berlangsung di Rio de Janeiro pada minggu ini dijangka membincangkan kerjasama ekonomi baharu antara negara-negara membangun, serta peluang keanggotaan untuk negara-negara seperti Malaysia. – MalaysiaMADANI