Sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 reruai jualan dan pameran yang menawarkan pelbagai produk tempatan dan perkhidmatan kerajaan serta aktiviti menarik akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 36 reruai dan 25 pempamer akan terlibat dengan jualan yang akan beroperasi bermula 23 hingga 25 Mei manakala delegasi ASEAN pada 26 dan 27 Mei.
Bertemakan The Heritech Malaysia, iaitu mainan kata yang menggabungkan unsur warisan dan teknologi, orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi penghasilan kraf tangan tempatan secara langsung selain berinteraksi dengan paparan papan digital dan video.
Antaranya demonstrasi menekat benang emas, anyaman dan mencanting batik, penggunaan dompet digital, permainan dan pameran interaktif, pameran kraf tangan, cabutan bertuah, edaran cenderahati, uji rasa produk makanan dan minuman tempatan, serta simulasi dron.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), persembahan kebudayaan oleh artis berkeupayaan khas dan pelancaran produk tempatan baharu.
Manakala pameran-pameran dan perkhidmatan kerajaan pula melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). – MalaysiaMADANI