Berita

Pertemuan dengan Mufti  Besar Rusia eratkan hubungan Islam di dua negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pertemuan dengan Sheikh Ravil yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia itu telah membuka ruang mempererat ukhuwah selain memperkukuh hubungan dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia yang hidup dalam kepelbagaian aliran dan tradisi.

“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran, serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Rusia,” katanya.

Terdahulu Anwar dan delegasi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Russia Mikhail Mistushin di Rumah Kerajaan sebagai sebahagian daripada jadual lawatan rasmi empat hari ke Russia dan Kazan, Tartastan hingga 16 Mei.


Dalam pertemuan berkenaan Anwar telah  menghadiahkan al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa Rusia.

Katanya pemberian hadiah itu selari dengan aspirasi MADANI mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia demi memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam dan menangkis gelombang Islamofobia.

“Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil turut menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi,” katanya. – MalaysiaMADANI