Hospital Kapar bakal memainkan peranan yang signifikan dalam menangani isu kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam selain menjadi pusat rujukan penyakit berjangkit dan kecemasan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang meninjau perkembangan projek Hospital Kapar berkata, hospital yang dibina dengan visi strategik itu mempunyai kapasiti 312 katil dan memiliki pelbagai kepakaran kemudahan klinikal, dijangka mampu menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti khususnya untuk komuniti setempat,
“Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau perkembangan projek Hospital Kapar sebagai infra tambahan kepada perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang.
“Hospital ini dibina dengan visi strategik sebagai pusat rujukan penyakit berjangkit dan kecemasan,” katanya.
Beliau menambah kemudahan yang disediakan adalah langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsagaan negara bagi menghadapi cabaran penyakit berjangkit pada masa akan datang.
Malah, hospital berkenaan turut memiliki fasiliti khusus yang dilengkapi dengan isolation ward dan infectious operating theatre (OT), serta bilik autopsi berstatus Biosafety Level 3 (BSL-3).
Hospital Kapar dijangka siap pada November 2026, dan akan beroperasi selepas semua peralatan dan kelulusan diperolehi. – MalaysiaMADANI