Berita

Belia Malaysia optimis terhadap ASEAN, perlu lebih banyak pendedahan – kajian

Golongan belia di negara ini secara umumnya menunjukkan sentimen positif terhadap ASEAN meskipun tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai fungsi badan serantau dilihat sebagai sederhana.

Dapatan berkenaan diperoleh menerusi kajian berjudul Persepsi Terhadap ASEAN oleh Pelajar Universiti Malaysia yang telah dijalankan secara bersama Tun Tan Cheng Lock Institute of Social Studies, Universiti Tunku Abdul Rahman; Institute of Borneo Studies, Universiti Malaysia Sarawak; dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Perlis.

Antara ahli akademik yang terlibat dalam dalam laporan dapatan itu ialah Dr Tan Sing Pei, Dr Azhar Abdul Rahman, Dr Chin Yee Mun, Dr Wong Voon Hee, Dr Phua Yeong Nan dan Ani Hafify Anil Yakin.

Menurut kajian berkenaan, golongan muda di negara ini secara umum menzahirkan rasa bangga kerana Malaysia menjadi sebahagian ASEAN dan teruja dengan peluang yang diberikan terutama dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pekerjaan.

Namun mereka berharap lebih banyak perlu dilakukan untuk memperkukuhkan kebersamaan hubungan dalam kalangan belia di rantau ASEAN

Seramai 543 responden pelajar yang mewakili pelbagai kaum dan latar belakang terlibat dalam kajian ini melalui tinjauan dalam talian yang dijalankan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Para penyelidik juga mencadangkan agar ASEAN lebih giat dipromosikan melalui platform pendidikan, media sosial.

Promosi yang dijalankan perlu ditekan kepada belia supaya generasi muda itu lebih memahami peranan organisasi itu serta memberi kesan langsung terhadap kehidupan.

Selain itu, responden turut mengiktiraf kelebihan utama ASEAN dalam memperkukuh perpaduan, kerjasama ekonomi, keamanan, serta pertukaran budaya antara negara anggota.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan. – MalaysiaMADANI