Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memperkukuh kesiapsiagaan di semua pintu masuk utama negara, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hujung bulan ini, bagi memastikan urusan ketibaan delegasi berjalan lancar dan keselamatan negara terus terpelihara.
Pemangku Ketua Pengarah AKPS, Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya meletakkan komitmen yang tinggi untuk memastikan kelancaran setiap proses yang dilalui delegasi luar di semua pintu masuk negara, melalui beberapa pendekatan strategik.
“Laluan protokol khusus akan disediakan untuk mempercepatkan proses pemeriksaan delegasi tanpa perlu mereka menunggu dalam barisan di laluan biasa dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“AKPS juga memperkukuh kolaborasi bersama pihak yang mempunyai peranan khusus dalam Sidang Kemuncak ASEAN seperti Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MAHB serta agensi teras AKPS iaitu Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan.
“Kolaborasi ini penting untuk membolehkan AKPS membuat semakan serta penilaian awal sebelum ketibaan delegasi di pintu masuk negara,” katanya seperti dipetik Bernama.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini, dan turut diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) kedua serta Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China pertama.
Sazali menambah perluasan penggunaan Autogate kepada pemegang pasport negara anggota ASEAN bagi pelepasan antarabangsa dijangka membantu mempercepatkan proses keluar masuk delegasi.
Pada masa sama, Sazali menegaskan sepanjang tempoh sidang kemuncak empat pasukan AKPS ditempatkan khas di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, masing-masing melibatkan 150 pegawai bagi setiap syif.
Katanya, bagi laluan VVIP di Kompleks Bunga Raya pula, sebanyak 50 pegawai akan bertugas khusus untuk menyambut dan menguruskan kehadiran tetamu kenamaan.
“Langkah ini bagi memastikan semua anggota bersedia dari segi taktikal dan operasi, AKPS juga menjalankan latihan dan simulasi keselamatan, selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Luar,” katanya. – MalaysiaMADANI