Berita

RM28 juta diperuntuk bagi pembangunan infrastruktur Perak

Peruntukan sebanyak RM28.1juta disalurkan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan dua projek utama melibatkan pembangunan infrastruktur awam dan sosioekonomi di Perak.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek utama berkenaan melibatkan pembangunan landskap pembandaran di bandar Ipoh dan menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal di Teluk Cempedak, Pulau Pangkor.

“Peruntukan ini bertujuan memperindah kawasan dan menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan tempatan.

“Projek landskap melibatkan kawasan seluas 13.5 ekar di sepanjang Sungai Kinta, manakala projek naik taraf tapak pelupusan bertujuan meningkatkan pengurusan sisa pepejal secara lebih selamat dan berkesan.

“Saya yakin ini akan menjadi tarikan pelancongan sekali gus akan meningkatkan imej bandar raya Ipoh,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming membuat tinjauan ke tapak pembangunan Kompleks Parkir & Ruang Komersial di Jalan Panglima, Ipoh.

Tapak berkenaan sejurus siap nanti mampu mengurangkan masalah parkir dan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong Pekan Lama Ipoh.

Inisiatif berkenaan katanya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat setempat.

“KPKT sentiasa komited memastikan setiap perbelanjaan memberi impak dan pulangan terbaik kepada rakyat serta negara,” ujarnya. – MalaysiaMADANI