Berita

‘Pak Lah mengajar erti kemanusiaan dalam kepimpinan’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mantan Perdana Menteri ke- 5 Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung negara (IJN) sebagai insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Katanya, dengan menggunakan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai.

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi,” katanya.

Menurut Anwar, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

“Tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau juga adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

Katanya, pentadbiran Pak Lah berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.

Berkongsi rasa duka Anwar berkata, pemergian Pak Lah menyentak jiwanya sebagai seorang sahabat.

“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam,” katanya.

Anwar merakamkan takziah kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar Pak lah.

“Saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.Selamat jalan, Pak Lah.

“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat,” katanya.

Semalam, pengesahan pemergian Pak Lah diumumkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin.

Jenazah kemudian kemudian dibawa pulang ke kediaman di Tasik Perdana dan akan dikebumikan hari ini di Makam Pahlawan, Masjid Negara. – MalaysiaMADANI.