Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM1.45 juta digunakan untuk mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa bagi menangani kekurangan bekalan kelapa di pasaran tempatan.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan, bekalan kelapa itu akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi menjamin ketersediaan bekalan di pasaran.
“Bekalan ini akan ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.
“Usaha ini akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil. Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia ialah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka,” katanya.
KPKM menjelaskan bagi langkah jangka panjang, Jabatan Pertanian (DOA) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk program penanaman semula dan penanaman baharu kelapa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya ia akan membabitkan penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).
Malah kawasan penanaman kelapa juga telah dikenal pasti dengan kerjasama kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran domestik dan usaha ini membabitkan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Tegasnya, LPP melaksanakan 43 projek penanaman kelapa di seluruh negara sejak 2016 di seuruh negara dengan keluasan keseluruhan 643.42 hektar membabitkan 123,426 pokok kelapa. – MalaysiaMADANI
“Kawasan tanah yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik.