Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta dalam membangun dan menaik taraf kemudahan Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu ketika menyempurnakan Majlis Perasmian TRM Desa Pinggiran Putra, semalam.
Katanya pembangunan TRM adalah memberi fokus kepada penyediaan persekitaran yang hijau dan kemudahan landskap bagi tujuan rekreasi penduduk serta manfaat komuniti setempat.
“KPKT merancang untuk membangunkan 100 Taman Rekreasi MADANI setiap tahun dalam tempoh lima tahun, menjadikan jumlah keseluruhan 500 taman menjelang tahun 2028.
“Pada tahun 2024, sebanyak 109 TRM dan Projek Pembangunan Landskap telah disiapkan serta dibangunkan melibatkan kos sebanyak RM51.9 juta,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, YSuhaimi bin Ali @ Ahmad; Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad serta barisan pegawai daripada JLN.
Beliau menjelaskan inisiatif berkenaan akan melibatkan kerjasama JLN bersama Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). – MalaysiaMADANI