Berita

ZTE Global berhasrat mewarnai landskap digital Malaysia -PM

ZTE Global, peneraju global dalam bidang telekomunikasi dan penyelesaian teknologi menyatakan berhasrat untuk mewarnai landskap digital negara ini bagi meningkatkan infrastruktur kesalinghubungan luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama berkenaan diyakini merapatkan jurang digital miskin bandar dalam memacu pembangunan inklusif ketersediaan rangkaian di Malaysia dan menjadikan Malaysia hub digital kecerdasan buatan (AI).

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat delegasi ZTE Global yang diketuai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Xu Ziyang.

Katanya dalam pertemuan berkenaan, perbincangan menyentuh beberapa perkara terkait kepentingan 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

“Ia diyakini berupaya memangkin negara sebagai hab inovasi, bandar pintar dan teknologi generasi akan datang,” katanya.

Anwar menambah gabungan keupayaan infrastruktur rangkaian dan kepakaran digital tempatan bersama teknologi daripada ZTE telah dibuktikan melalui ujian kepantasan 5G di dunia yang mencatat kelajuan luar biasa sebanyak 28Gbps.

ZTE bertapak di Malaysia sejak tahun 2004 dengan kepakaran dalam memacu inovasi 5G yang dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI).

Ini bagi menyokong inisiatif yang meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi di negara ini.

ZTE Global telah beroperasi di lebih daripada 160 negara sebagai peneraju global dalam bidang telekomunikasi dan penyelesaian teknologi. – MalaysiaMADANI