Peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta disalurkan segera kepada Kelantan dan Terengganu yang terkesan teruk akibat banjir di kedua-dua negeri itu, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang disalurkan boleh meringankan beban yang dihadapi kedua-dua negeri dari segi bantuan kewangan dan juga kerja-kerja pembaikan serta pemulihan infrastruktur asas.
“Keprihatinan Kerajaan adalah jelas dalam hal ini, justeru peruntukan tambahan segera masing-masing RM25 juta disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu.
Moga Allah melindungi rakyat yang sedang diuji dengan musibah banjir agar diberi kekuatan, ketabahan, dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu beliau turun padang meninjau situasi banjir dan melihat situasi terkini termasuk kebajikan mangsa dan infrastruktur di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di Setiu, Terengganu.
Mengulas lanjut mengenai tambahan kepada peruntukan sebanyak RM50 juta itu diluluskan menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Peruntukan berkenaan katanya akan disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau pada masa sama memberi jaminan untuk sentiasa membantu meringankan beban rakyat termasuk dari segi bantuan kewangan dan juga pembaikan dan pemulihan. – MalaysiaMADANI