Berita

‘Lebih banyak inisiatif diwujudkan bagi mantapkan sektor pelancongan negara’

Inisiatif menghidupkan minat terhadap mitos, lagenda dan sejarah tanah air perlu diperluaskan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha berkenaan dilihat penting kerana diyakini mampu memantapkan sektor pelancongan negara.

“Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat terhadap mitos, lagenda, dan sejarah tanah air.

“Langkawi tidak hanya sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang patut ditelaah dan digarap generasi kini dan akan datang,” katanya.


“Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru,” katanya.

Terdahulu beliau menyatakan kekaguman dengan bakat kreatif yang ditonjolkan di Dream Forest Langkawi yang dimiliki Datin Seri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan suaminya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi.

Katanya, projek berkenaan berjaya mengetengahkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang begitu berkesan selain memaparkan lagenda dan mitos tempatan yang menjadi antara sebahagian penting warisan negara.

“Alhamdulillah, saya sangat kagum dengan bakat kreatif yang ditonjolkan di Dream Forest Langkawi. Projek ini berjaya mengetengahkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang begitu berkesan, selain memaparkan lagenda dan mitos tempatan yang menjadi antara sebahagian penting warisan negara.

Pada masa sama beliau berkongsi telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi, menyampaikan penghargaan dalam merealisasikan inisiatif tersebut.

“Saya juga telah menghubungi Tan Sri Fendi dan Puan Sri Tiara untuk menyampaikan penghargaan atas usaha hebat mereka dalam menjayakan inisiatif ini. Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan. – MalaysiaMADANI