Perjanjian Bebas Dagang (FTA) Malaysia – Korea bakal mengukuhkan kepentingan strategik kedua-dua negara dan sekali gus boleh melonjak pelaburan dan perdagangan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini Malaysia sedang berunding untuk FTA dengan Korea dan hubungan kedua-dua itu kelak akan terus menyemarak kepentingan strategik kedua-dua negara.
“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik MAS-ROK yang ke-65 serta kedua-dua negara akan mengemudi ASEAN dan APEC,”katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata lawatan rasmi ke Korea sangat bermakna terutama dalam berusaha untuk meletakkan Malaysia di persada antarabangsa.
“Meski lawatan yang singkat, namun ia cukup bermakna kepada saya dan barisan pasukan menteri terutama dalam berusaha sehabis baik dalam kembali meletakkan Malaysia di persada antarabangsa baik di bidang ekonomi dan melonjak pendirian Malaysia dalam pelbagai isu serantau dan global,” tegas beliau.
Beliau pada masa sama memberi jaminan untuk memanfaatkan peluang berkenaan untuk rakyat di kedua-dua negara.
“Insya-Allah, ruang dan platform ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk rakyat Malaysia dan Republik Korea kelak,” katanya.
Lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan bermula Ahad lalu bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Malah juga membuka ruang dan peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia ketika pertemuan dengan kalangan syarikat besar negara itu. – MalaysiaMADANI
FTA Malaysia-Korea boleh lonjak pelaburan dan perdagangan
27
Nov