Berita

Malaysia terus bekerjasama dengan Thailand di bawah kepimpinan PM baharu

MALAYSIA menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Thailand menerusi kepimpinan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra demi kemajuan dan kemamuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhan. 
 
Perkara berkenaan dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi diskusi bersama Paetongtarn menerusi panggilan telefon bagi merakamkan ucapan tahniah susulan upacara mengangkat sumpah beliau sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada 6 September 2024 yang lalu. 
 
Katanya, Malaysia dan Thailand berkongsi banyak kepentingan bersama mencakupi pelbagai bidang kerjasama. 

“Justeru, saya menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Paetongtarn. 

“Saya juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Paetongtarn bagi  melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand demi kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhannya,” katanya. 
 
Paetongtarn Shinawatra, 37, yang merupakan anak perempuan bilionair Thaksin Shinawatra, dipilih menjadi Perdana Menteri Thailand Ogos lalu selepas memenangi undian di Parlimen. 
 
Beliau merupakan Perdana Menteri paling muda dalam sejarah Thailand yang mengamalkan pemerintahan raja berperlembagaan.  

Beliau mengambil alih kuasa selepas mahkamah tertinggi Thailand memecat Perdana Menteri terdahulu, Srettha Thavisin kerana melantik menteri kabinet yang mempunyai rekod jenayah. – MalaysiaMADANI