Berita

Jepun pilih Malaysia tubuh kampus cawangan pertama Universiti Tsukuba

MALAYSIA melakar sejarah tersendiri apabila Universiti Tsukuba melancarkan kampus cawangan universiti Jepun pertama ditubuhkan di luar negara.

 Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pembukaan kampus cawangan yang beroperasi di Bangunan R&D, Universiti Malaya (UM) itu merupakan tanda persahabatan di antara dua negara melalui kolaborasi antara dua institusi pendidikan terkemuka terbabit.

“Kerjasama institusi ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada program pertukaran akademik bahkan dapat mempromosikan pemahaman budaya dan perspektif global serta mempersiapkan pelajar untuk menjadi pemimpin dunia satu hari nanti,” katanya. 
 
Terdahulu beliau menyempurnakan gimik perasmian dengan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian. 
 
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun. 
 
Tambah Dr Zambry, pembukaan kampus cawangan ini membolehkan Malaysia memerhati serta berpotensi mengintegrasikan metodologi pengajaran dan pendekatan pedagogi inovatif yang telah lama diamalkan di Universiti Tsukuba di Jepun. 
 
Beliau menjelaskan, bagi kumpulan pertama yang memulakan pengajian di kampus berkenaan seramai 13 orang pelajar yang terdiri daripada tujuh pelajar Malaysia dan enam pelajar Jepun akan memulakan pengajian dan sesi orientasi dalam masa terdekat.  – MalaysiaMADANI