ENAM tonggak Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan perlu diterapkan dalam pencorakan masa depan bagi memenuhi kebolehpasaran graduan Institusi negara.
Perkara berkenaan dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucaptama Program Karisma Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Justeru, nilai-nilai integriti, kesaksamaan dan tanggungjawab sosial perlu diajar bukan sahaja sebagai subjek moral tetapi sebagai asas dalam semua bidang pendidikan.
“Saya percaya bahawa untuk membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa dan beretika, transformasi sistem pendidikan perlu bermula dengan mengintegrasikan nilai-nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan.
“Ini dapat dicapai melalui pendekatan pembelajaran yang holistik serta penekanan terhadap metodologi penyampaian dalam sistem pendidikan Negara,” katanya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Timbalan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada kempimpinan tertinggi UKM menyertai program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UKM.
Program berkenaan bermatlamat untuk memperkasakan hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia MADANI serta UKM sebagai Pembina Masa Depan Negara Bangsa.
“Program ini jelas mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan serta institusi pendidikan, khususnya UKM dalam memacu pembangunan negara dan memperkasakan barisan pemimpin akademik serta pentadbiran masa hadapan.
“Saya yakin dengan usaha berterusan dan kerjasama erat antara pengurusan, tenaga pengajar serta seluruh warga universiti ini, UKM akan terus unggul sebagai pusat kecemerlangan dan sumber inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Program KARISMA yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Ogos ini juga disusun dengan sesi dialog dan perkongsian oleh barisan panel yang berwibawa dan berpengalaman dalam aspek kenegaraan bagi menyebarluaskan kefahaman dan penghayatan falsafah MADANI. – MalaysiaMADANI