Berita

Ekonomi MADANI jamin pembangunan modal insan

KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat memperlihatkan momentum kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berterusan di negara ini di samping kemampanan ekonomi dan kedudukan fiskal negara, demikian menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Ia berkata, pembangunan modal insan penting untuk pertumbuhan inklusif, mewujudkan peluang yang saksama dan pasaran pekerjaan yang teguh.

Firma penarafan itu berkata, di sebalik naratif ekonomi, kerangka itu berpotensi untuk memacu perubahan positif bagi Malaysia dengan menerima pendekatan strategik dan berasaskan nilai, terutamanya pada masa ketidaktentuan domestik dan global.

Katanya, sebagai tanda konsisten dasar, tema ‘Memperkasa Rakyat’ mengekalkan momentum kerajaan ke arah pembangunan modal insan di negara ini.

“Pembangunan modal manusia dan kesejahteraan sosial adalah penting untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan dan meningkatkan potensi pertumbuhan KDNK di Malaysia.

“Aspek itu membentangkan peringkat pembangunan seterusnya melangkaui model perindustrian biasa yang menekankan modal fizikal,” katanya.

Mengulas lanjut, MARC berkata, peningkatan produktiviti, teknologi dan keberkesanan penukaran input kepada output nilai tambah tinggi memerlukan modal insan yang mahir.

Ia berkata, pembangunan modal insan tidak dapat dipisahkan daripada status Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan sederhana atas apabila ia menuju ke arah status maju dan berpendapatan tinggi.

Di samping itu, katanya kerajaan memperuntukkan dana untuk langkah pembangunan yang utuh seperti menaik taraf infrastruktur di taman perindustrian, geran pemadanan untuk mempercepatkan pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mempercepatkan syarikat permulaan tempatan serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan.

“Sepanjang 2023, syarikat multinasional dan rakan perdagangan utama di peringkat kerajaan telah menyatakan komitmen pelaburan dalam pelbagai industri,” katanya.

MARC berkata, naratif Ekonomi MADANI akan membawa Malaysia kepada era yang lebih baik, dengan menggabungkan matlamat ekonomi dengan tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Ia berkata, mencapai pertumbuhan KDNK yang berkualiti disokong oleh naratif Ekonomi MADANI memberi Malaysia peluang untuk meningkatkan potensi KDNK jangka panjang dan memacu pembangunan sosioekonomi selanjutnya.

“Pertumbuhan KDNK yang mampan dibayangkan kerajaan bersesuaian dengan sasaran defisit fiskal kepada KDNK sebanyak 3.0 peratus atau lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Akhir bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.