KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka berupaya membiayai inisiatif di bawah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat seperti elaun penjawat awam dan kredit e-tunai disokong kemajuan dalam ruang fiskal susulan pertumbuhan ekonomi yang mapan, demikian kata penganalisis.
MIDF Research berkata, naratif ekonomi yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu itu dilihat menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara.
Malah, ia berkata, jika dilakukan dengan betul, potensi pertumbuhan Malaysia boleh menjadi lebih tinggi berbanding purata pertumbuhan 4.7 peratus sejak 1998.
“Kami menjangkakan pengumuman rancangan pembangunan lain, termasuk semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Belanjawan 2024 akan mengasimilasikan aspirasi dan sasaran yang sama seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju Ekonomi MADANI,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, kerajaan menunjukkan komitmen berterusan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal serta kepentingan meningkatkan perkhidmatan awam.
Ia berkata, selain mengulangi komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau lebih rendah dari semasa ke semasa, Ekonomi MADANI akan melihat untuk menambah baik pengurusan subsidi termasuk pengenalan skim subsidi bersasar.
“Dari sudut kemampanan fiskal, rasionalisasi subsidi akan meringankan beban fiskal dan paling penting memastikan semua subsidi disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Walaupun kerajaan akan melaksanakan pembaharuan fiskal yang akan melihat kepada pengurusan keseluruhan perbelanjaan fiskal, sumber hasil fiskal dan menangani isu menyelubungi pengurusan hutang awam, kerajaan dengan jelas menekankan bahawa keutamaan akan diberikan ke arah menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada rakyat yang menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.
MIDF Research juga menjangkakan banyak lagi butiran lanjut akan diumumkan oleh setiap kementerian memandangkan naratif Ekonomi MADANI menyediakan sasaran tinggi.
Ia berkata, buat masa ini kesan terhadap kedudukan fiskal kerajaan tidak dapat diukur sepenuhnya sehingga semua inisiatif didedahkan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pengumuman itu adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
BH juga melaporkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berada pada landasan tepat untuk melepasi sasaran kutipan cukai RM176 bilion tahun ini, yang bakal menjadi satu lagi rekod tertinggi baharu, bersandarkan trend kutipan harian yang positif dan keadaan ekonomi semasa.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata LHDN merekodkan kutipan harian 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu dan rekod kutipan setahun RM175.4 bilion dicatatkan pada 2022.
“Berdasarkan trend semasa, LHDN yakin sasaran kutipan cukai langsung yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) mampu dicapai jika tidak berlaku sebarang faktor luar jangka yang menjejaskan ekonomi negara sehingga penghujung tahun ini,” katanya.