BANGI – Mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mencabar diri sendiri dalam usaha menyelami konsep Malaysia Madani yang menjadi pegangan Kerajaan Perpaduan.
Rata-rata mahasiswa berkata, konsep itu perlu dihayati sebaik mungkin memandangkan ia membawa satu nilai yang baik untuk sayang menyayangi dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Mereka turut mengakui tonggak Malaysia Madani terletak pada golongan mahasiswa dan kemampuan mereka menongkah cabaran masa depan.
Bagi mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Uzair Fadzli, kesempatan yang perlu diambil untuk mereka menghayati dan menyokong konsep Malaysia Madani menerusi sesi penerangan yang diadakan di kampus.
“Apa yang saya faham, konsep Malaysia Madani ingin mengangkat darjat ilmu dan kebijaksanaan bagi membentuk nilai yang baik dalam jati diri masing-masing.
“Ini kerana konsep dirangka untuk mengangkat golongan belia dengan disiplin ilmu dan paling penting menekan pemikiran yang kritis.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak mahu belia menjadi golongan pak turut tetapi seorang belia yang memiliki pemikiran kritikal dan berani menyuarakan hak-hak jika kerajaan melakukan kepincangan,” kata pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Politik itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Cakna Madani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed.
Bagi mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Loh Qian Qian, konsep Malaysia Madani bersifat menyeluruh kerana melestarikan enam nilai utamanya iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan).
Malah penuntut Sarjana Muda Ekonomi itu berkata, nilai ihsan juga membolehkan golongan mahasiswa mendapat tempias menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan yang mementingkan nilai kemanusiaan
“Contohnya seperti inisiatif yang diperkenalkan Menu Rahmah juga membantu pelajar dengan menyediakan makanan berkhasiat dengan harga murah.
“Ternyata Malaysia Madani membawa rakyat ke arah yang lebih baik sama ada daripada segi ekonomi mahu pun sosial terutama golongan mahasiswa dalam kalangan B40.
“Namun konsep ini masih memerlukan proses untuk membawa Malaysia sebagai negara membangunan pada masa akan datang apatah perdana menteri baru sahaja mentadbir negara dalam masa singkat,” katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi penuntut perubatan, S. Thiruthanigesh yang menyifatkan konsep Malaysia Madani mengajak masyarakat menerokai pembangunan modal insan yang mampan.
Justeru, katanya, konsep itu perlu difahami dan diamalkan bukan sahaja penting untuk setiap mahasiswa namun setiap warga perlu dijadikan amalan supaya segala nilai baik dapat dibentuk dan dipertahankan.
“Keseimbangan konsep ini kerana memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa mengira mana-mana kaum dengan mementingkan nilai kemanusiaan.
“Namun apa yang lebih penting adalah Malaysia Madani perlu disambut baik oleh seluruh masyarakat terutamanya mahasiswa untuk diterjemahkan dalam setiap tindak tanduk mereka,” kata penuntut tahun dua di UKM itu.
Sementara itu, Program Cakna Madani Perdana Menteri yang dihadiri lebih 2,500 pelajar tajaan JPA daripada universiti awam dan swasta itu turut disertai mahasiswa luar negara, secara dalam talian. – MalaysiaGazette