Berita

Sumbangan guru dalam pembentukan generasi MADANI

TEMA sambutan Hari Guru pada tahun 2023 iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ disebut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai bertepatan dengan perkembangan semasa dunia pendidikan di Malaysia ini. Tema ini memperihalkan konsep membangkitkan roh dan jiwa guru ke arah memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru.

Guru merupakan sosok tubuh yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitabnya bertajuk Ihya’ Ulumuddin menggariskan satu panduan komprehensif adab pelajar dalam menuntut ilmu. Salah satu daripadanya adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

Begitu mulia darjat seorang guru di sisi agama, namun tidak sesekali seorang guru itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Terdapat lima peranan seseorang guru yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap usaha mempersiap dan memperkemaskan diri untuk bersedia dalam mendukung hasrat kerajaan dalam usaha pembugaran nilai madani dalam generasi masa hadapan ini. Pertamanya, pembinaan kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan di dalam bidang masing-masing.

Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi modal insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi anak-anak murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan yang menghayati aspirasi negara bangsa ini. Bukan sahaja anak murid mendapat faedah daripada proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung di sekolah, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun sebaiknya berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak muridnya. Daripada perspektif Islam, seseorang guru itu perlu memainkan peranan kepemimpinannya secara holistik. Antara peranannya adalah sebagai Pendidik (Muaddib), sebagai Penyebar Informasi (Musaddid), sebagai Pembaharu (Mujaddid) atau penyebar transformasi dan perkembangan sesuatu cabang ilmu, sebagai Penyatu Ummah (Muwahid) dan juga sebagai Pejuang (Mujahid) dalam mempertahankan keluhuran ajaran dan syariat Islam. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid sendiri yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, peranan guru adalah untuk menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki ‘towering personality’ ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata-mata yang melihat keperibadian mereka. Bukanlah bermaksud guru perlu bersifat hipokrit menunjukkan dirinya begitu baik seperti malaikat. Tetapi akhlak mulia itu perlu ditanam dan disuburkan sebaiknya dalam diri, supaya tidaklah ada orang yang akan mengungkap peribahasa ‘kalau guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari’.

Keempat, dalam era modenisasi dan hambatan arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak boleh tidak perlu dihadapi dan ditangani oleh guru sebaiknya. Kalau guru terus mahu berada di takuk yang lama, maka dirinya akan menjadi ketinggalan dan tidak relevan di mata anak-anak murid dan bahkan di mata masyarakat dan konsep negara bangsa kelak hanya akan menjadi sesuatu yang retorik dek kerana seseorang guru itu tidak hadam dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut ‘sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru’. Ujarnya lagi, ‘Bekerja sebagai guru’ bermakna hanya menjalankan tugas rasmi dalam sesi persekolahan, tidak proaktif dan hanya menunggu setiap hujung bulan mendapat gaji. Manakala ‘menjadi guru’ pula ibarat meletakkan roh seorang guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, proaktif, tidak mengharapkan apa-apa balasan, dan sedia berbakti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja demi anak-anak murid.

Sesungguhnya, peranan guru adalah sangat signifikan, penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri, negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa. Di sinilah daya upaya guru sebagai agen perubahan yang berkesan perlu diarusperdanakan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.

Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber: https://malaysiagazette.com/2023/05/16/sumbangan-guru-dalam-pembentukan-generasi-madani/