KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Isu kesaksamaan gender termasuk sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dan penglibatan dalam tenaga kerja, antara perkara yang dibangkitkan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan.
Isu berkenaan mendominasi perbahasan perwakilan di konvensyen yang menghimpunkan kira-kira 3,400 wanita daripada 19 parti politik dari seluruh negara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Sabu berkata setiap program yang dirangka kerajaan bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI perlu mengetengahkan peranan wanita sebagai peserta aktif dalam setiap proses kemajuan dalam usaha menangani isu kesaksamaan gender.
“Kami ingin menegaskan masyarakat Malaysia MADANI adalah masyarakat yang tidak akan mengetepikan wanita dalam apa juga cara dan gaya.
“Oleh kerana Malaysia MADANI adalah pelan untuk menjadikan Malaysia (sebagai negara) maju secara menyeluruh, kami ingin menghujahkan bahawa setiap pengenalan program pembangunan yang sedang dan akan direka bentuk haruslah meningkatkan letak duduknya wanita dan iltizam keterangkuman gender,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ia selari dengan peredaran zaman memandangkan peranan golongan itu tidak hanya terhad sebagai suri rumah, tetapi turut serta dalam pasaran kerja sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.
Aiman Athirah berkata Pelan MADANI yang berjaya adalah pelan yang mampu mengupayakan wanita dan justeru itu, beliau meminta agar kaum hawa diberikan akses sama rata dalam semua faktor dan proses pengeluaran, modal, kredit, bantuan teknikal, latihan dan sokongan sosial.
Senada dengan beliau, Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata peranan wanita dalam pembangunan negara tidak boleh diremehkan, maka beberapa perkara perlu diberikan tumpuan.
“Pertama, kita perlu memastikan kesiapsiagaan wanita mendepani cabaran ekonomi; kedua, penglibatan 30 peratus wanita dalam pembuat dasar mesti kerajaan laksanakan dan ketiga, meletakkan lebih ramai golongan wanita dalam semua sektor kerajaan dan setara dalam sektor swasta.
“Saya percaya (dan) saya yakin dengan keterlibatan ini, kita pasti membina negara Malaysia yang lebih hebat, kita mampu jadikan yang mustahil, menjadi nyata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata memandangkan wanita adalah tulang belakang perjuangan parti, usaha untuk mempertingkatkan lagi kuantiti dan kualiti golongan berkenaan dalam bidang politik serta kepimpinan perlu dilakukan secara sedar dan terancang oleh kerajaan.
“Ini supaya pelbagai gagasan atau cadangan, perundangan dan peraturan yang menyentuh kebajikan dan kesejahteraan wanita dapat disantuni secara saksama dan adil,” katanya.
Wakil Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Flovia Ng pula berkata terdapat keperluan untuk memberikan wanita lebih banyak peluang dalam sektor korporat dan politik memandangkan penyertaan golongan tersebut terutama di Sabah masih belum mencukupi dan perlu diubah dalam memperkasakan lagi kepimpinan dalam kerajaan.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirai dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.
Kemuncak konvensyen bertemakan ‘MADANI: Mengangkat Agenda Rakyat’ adalah amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berakhir dengan pelancaran Tekad Bersama.
— BERNAMA