ALOR SETAR: Ribuan orang ramai hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, hari ini.
Orang ramai mula membanjiri lokasi majlis pada jam 9 pagi, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di bilik jamuan VIP pada jam 10 pagi dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setakat jam 10 pagi tadi, lebih 3,000 orang hadir dan menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu.
Sementara itu, pengunjung yang hadir, Ahmad Ismail, 47, dari Baling berkata, dia dan keluarganya tiba di rumah terbuka itu pada jam 9 pagi.
Katanya, jamuan rakyat seperti itu dapat mengeratkan hubungan dengan pemimpin, malah ada yang datang dari jauh semata-mata untuk berhari raya bersama Perdana Menteri.
Zurina Abdul Rashid, 40, dari Perlis pula berkata, jamuan rakyat di rumah terbuka ini sangat bermakna untuk rakyat ketika suasana Aidilfitri masih dirasai.
Sumber: Berita Harian