Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-62 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia telah menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen seluruh pemegang taruh terhadap agenda keselamatan jalan raya negara.
MKJR Malaysia berkata, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan menyeluruh berasaskan konsep Sistem Selamat, selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, ihsan dan kemampanan.
“Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan oleh MKJR Malaysia termasuk Projek Rintis Zon Sekolah Selamat di 14 buah sekolah seluruh negara bagi melindungi hampir 20,000 murid dan warga sekolah,” kata MKJR Malaysia.
Selain itu katanya, Program My Safe Road yang menghimpunkan pelbagai agensi di peringkat daerah bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu keselamatan jalan raya secara setempat serta berfokus.
Tambahnya lagi, Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang mampu memacu perubahan berasaskan data dan bukti.
Selain itu menurutnya, Pembangunan Indeks Keselamatan Jalan Raya sebagai instrumen baharu untuk mengukur tahap pematuhan serta risiko secara berkala dalam kalangan pengguna jalan raya.
Katanya, dengan lebih 6,600 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan pada 2025, usaha berterusan dan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti adalah amat penting.
“Bersama-sama kita membudayakan keselamatan jalan raya demi melindungi nyawa, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan membina masa depan yang lebih selamat untuk generasi akan datang,” ujarnya -MalaysiaMADANI
