Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah menganjurkan Program Semarak LMS SPM 2026: Pemerkasaan Murid Orang Asli Negeri Selangor pada 16 Jun lalu.
Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, program tersebut melibatkan penyertaan daripada 28 buah sekolah yang merangkumi daerah Petaling Perdana, Petaling Utama, Klang dan Hulu Langat, dengan kehadiran seramai 66 orang murid serta 33 orang guru pengiring.
JPNS berkata, penganjuran program itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya di bawah Teras Strategik 2: Mengoptimumkan Potensi Setiap Murid Melalui Pengalaman Pembelajaran Yang Bermakna Ke Arah Melahirkan Warganegara Global.
Katanya, Semarak LMS SPM 2026 dilaksanakan bagi memperkukuh pencapaian murid Orang Asli dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah melalui penguasaan teknik menjawab yang berkesan.
“Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh Rohaiza Omar (Guru Cemerlang Bahasa Melayu) dari SMK Seri Serdang dan Nurhashimah Nawawi (Guru Cemerlang Sejarah) dari SMK Bandar Utama Damansara 4.
“Pengisian program memberi fokus kepada teknik menjawab soalan peperiksaan, strategi memperoleh markah maksimum, penguasaan fakta dan konsep penting, serta pengukuhan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan SPM dengan lebih yakin dan berkesan,” kata JPNS menerusi laman media sosial rasminya.
Menurut JPNS, pendekatan bersasar itu mencerminkan komitmen berterusan pihak jabatan dalam memastikan setiap murid mendapat akses kepada sokongan pembelajaran yang sewajarnya, sekali gus mengurangkan jurang pencapaian dan memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan negara.
Katanya lagi, JPNS akan terus memperkukuh usaha dan intervensi bersasar bagi memastikan setiap murid berpeluang mencapai kejayaan, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan dan pencapaian SPM negeri Selangor secara menyeluruh. -MalaysiaMADANI
