Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu termasuk seorang pengarah serta bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta.
Suruhanjaya itu berkata, rasuah tersebut diterima daripada kontraktor sebagai dorongan melantik syarikat-syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen-ejen kartel syarikat bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi tersebut.
Katanya, tiga daripada yang ditahan melibatkan dua orang penjawat awam dan seorang pengarah syarikat telah direman selama dua hari bermula 16 Jun sehingga 17 Jun 2026, manakala 10 lagi suspek direman lima hari juga bermula 16 Jun sehingga 20 Jun 2026.
“Penahanan itu dibuat selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
Menurut SPRM, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu telah ditahan kira-kira antara jam 8 hingga 11 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Jelasnya, daripada 13 suspek yang direman semalam, lapan daripadanya adalah penjawat awam, manakala lima lagi adalah orang awam dan pemilik syarikat.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.
“Siasatan mendapati kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM telah menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Menerusi operasi tersebut, sebanyak 25 lokasi yang terdiri daripada kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah dan menyita beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.5 juta, satu unit jam tangan mewah, dua unit kenderaan, satu unit motosikal berkuasa tinggi dan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaMADANI
