Berita

PM dan Sheikh Dr Mohammad bincang tumpu perkukuh dunia Islam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami (Muslim World League), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa di Putrajaya.

Dalam pertemuan penuh bermakna itu, Perdana Menteri menzahirkan pandangan mengenai perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.

Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat dari pelbagai latar belakang serta negara. 

“Platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang,” ujar beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat.

Beliau menghargai peranan aktif badan tersebut dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama pada saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketegangan yang semakin meruncing.

Dalam pertemuan itu, perbincangan turut menyentuh kedudukan dunia Islam serta keperluan untuk memperkukuh kekuatan umat melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu dan teknologi, di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat.

“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI