Berita

SPRM diingatkan terus komited, bantu bina negara jadi lebih mampan

Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman bagi membincangkan beberapa perkara utama. 

Pada pertemuan tersebut, Perdana Menteri menekankan tentang usaha kerajaan memperkukuh tatakelola, integriti penjawat awam serta agenda reformasi institusi negara.

Jelas beliau, perkara tersebut sangat penting dan menjadi teras kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus serta berdaya saing.

“Saya menegaskan bahawa integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menurut beliau, SPRM perlu berusaha keras membanteras rasuah tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang. -MalaysiaMADANI