Berita, Siaran Media

Anwar terima kunjungan MB Perlis, fokus kesejahteraan rakyat

Kerajaan MADANI memberi jaminan akan terus komited memastikan setiap negeri mendapat perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah di Parlimen.

Katanya pertemuan berkenaan membuka ruang perbincangan mengenai pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis.

“Kami turut menyentuh keperluan mempergiat usaha membantu rakyat negeri Perlis, dengan tumpuan kepada kesejahteraan hidup, peluang ekonomi serta pembangunan yang adil dan inklusif,” katanya.

28 Disember lalu, Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail 

Pelantikan itu susulan pengunduran Menteri Besar sebelum ini, Mohd Shukri Ramli yang dibuat atas faktor kesihatan.

Abu Bakar merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis serta Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri. – MalaysiaMADANI