Berita

Sukan resepi perpaduan sebenar masyarakat

Budaya bersukan dalam masyarakat perlu diterapkan dengan lebih giat bagi menjadikan Malaysia sebuah ‘negara bersukan’ seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI serta bertepatan dengan Visi Sukan Negara 2030.

Merealisasikan hasrat murni itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyambut baik inisiatif Hari Sukan Negara (HSN) yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

Ia merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu, minggu kedua bulan Oktober sejak 2015.

Sambutan HSN peringkat kementerian tahun 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) KPN, Mohamad Sobri Mat Daud.

“Sukan membuka ruang pertemuan, memperkukuh semangat kerjasama dan menyemai nilai-nilai murni seperti hormat, toleransi dan semangat berpasukan. 

“Inilah resepi perpaduan yang sebenar apabila rakyat bersatu dalam matlamat yang sama, tanpa mengira perbezaan,” kata KPN menerusi laman media sosialnya.

Bagi pihak kementerian, usaha baik yang dilaksanakan itu perlu dijayakan oleh masyarakat demi memupuk semangat perpaduan dan memperkasakan keharmonian negara. 

“Ayuh kita terus bergerak, bersatu dan membina Malaysia yang lebih kuat, sihat serta penuh kasih sayang,” katanya. -MalaysiaMADANI