Festival Seni Kaligrafi dan Seni Motif Perpaduan 2025 menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai penyertaan peserta teramai daripada pelbagai kaum menyertai Festival Kaligrafi.
Festival anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu menerima seramai 1,500 orang yang mengambil bahagian dalam acara diadakan.
“Festival ini telah berlangsung selama tiga hari bertujuan untuk meraikan keindahan seni tulisan, memupuk rasa hormat dan keterbukaan terhadap seni serta budaya semua kaum,” kata KPN menerusi laman media sosialnya.
Selain itu, KPN berkata, festival itu turut menonjolkan keindahan seni kaligrafi serta motif Malaysia sebagai sebahagian daripada khazanah budaya negara.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Festival Kaligrafi Perpaduan yang dianjurkan tersebut adalah manifestasi terbaik bagaimana seni budaya boleh menjadi jambatan penghubung antara pelbagai etnik.
Selain itu kata beliau, festival pelbagai kaum seumpama itu mampu mengukuhkan rasa hormat dan penghargaan antara satu sama lain.
“Festival ini menzahirkan semangat kebersamaan yang menjadi teras perpaduan negara,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian festival tersebut di Kota Kinabalu, Sabah. -MalaysiaMADANI