Satu lagi projek berskala besar, pembangunan Ipoh Sentral akan dilaksanakan sepenuhnya melalui inisiatif swasta hasil kolaborasi strategik antara Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM6.25 bilion, projek itu bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di tengah-tengah Bandaraya Ipoh.
Beliau berkata, projek mega tersebut mencerminkan kemajuan yang berpaksikan wawasan jangka panjang.
“Dalam ucapan, saya nyatakan hasrat agar Ipoh Sentral dapat menjadi contoh terbaik pembangunan berteraskan nilai-nilai MADANI,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu lagi pembangunan fizikal yang megah tetapi kosong daripada jiwa budaya.
Sebaliknya kata beliau, setiap pembangunan mesti membawa roh kemanusiaan yang menjunjung prinsip ihsan, hormat, kelestarian dan maruah bangsa.
Untuk merealisasikan hasrat itu, menurut beliau, ia memerlukan sinergi dan kerjasama erat antara pemaju, pihak berkuasa bandaraya serta kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain yang relevan.
“Moga pembangunan ini membuka pintu peluang baharu, menyemai keyakinan warga dan memperkukuh identiti Ipoh sebagai sebuah bandaraya yang hidup, inklusif serta berdaya saing,” kata beliau. -MalaysiaMADANI