Kerajaan MADANI terus memberi perhatian khusus berhubung isu kewarganegaraan kanak-kanak yang berlaku di Sabah menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Peringkat Negeri Sabah.
Perbincangan itu dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Kota Kinabalu pada Khamis.
Pertemuan itu membincangkan secara khusus mengenai kertas pertimbangan dan kertas makluman berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan kanak-kanak di negeri tersebut.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk menangani isu-isu semasa kewarganegaraan kanak-kanak secara lebih serius.
“Ia selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan sesebuah keluarga dan ihsan tanpa mengurangkan sedikit pun keutamaan kepada keselamatan negara serta kebajikan warganegara Malaysia yang sedia ada,” kata KDN menerusi media sosialnya.
Terlibat sama perbincangan itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Makhzan Mahyuddin serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Sabah, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari. -MalaysiaMADANI