Berita, Siaran Media

Malaysia destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia

Keyakinan terhadap kepakaran doktor dan jururawat tempatan, kualiti rawatan bertaraf antarabangsa serta layanan mesra berteraskan nilai murni masyarakat Malaysia menjadikan negara ini pilihan utama pelancong kesihatan dari seluruh dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia kini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia, menurut laporan terkini yang dikeluarkan firma global, Nomad Capitalist yang berpangkalan di Dubai.

“Pengiktirafan itu meletakkan Malaysia mengatasi negara-negara lain yang turut terkenal dalam sektor pelancongan kesihatan seperti Singapura, India dan Turkiye.

“Kedudukan ini membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara kita, termasuk kepakaran profesional kesihatan dan kemudahan rawatan yang canggih serta mampu milik,” 


“Malaysia kini dinobatkan sebagai destinasi nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan,” katanya.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada dunia selaras dengan usaha kerajaan mempromosikan pelancongan kesihatan sebagai antara sektor strategik negara.

Pada 2023, sektor perubatan berjaya menjana hasil lebih RM2 bilion dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari rantau Asia dan seluruh dunia.

Kejayaan itu katanya adalah hasil usaha kolektif petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur serta rakan strategik yang memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) atas dedikasi dan kerja keras dalam memacu sektor ini ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.

Dr Dzulkefly menegaskan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus memperkukuh sektor kesihatan demi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

Kita tidak akan berhenti di sini. KKM komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan.

“Kita juga akan memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya. – MalaysiaMADANI