Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung sejak Jumaat lalu mencatatkan lebih 200,000 pengunjung.
Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, 85,217 pengunjung direkodkan pada hari pertama hadir pada program itu bermula 9 pagi hingga 6 petang.
“Manakala sehingga 6 petang Sabtu, jumlah pengunjung adalah 117,912 menjadikan jumlah 203,129 pengunjung hadir selama dua hari program ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan mensasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran yang akan berakhir hari ini.
2TM dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara terus kepada rakyat, dengan menguar-uarkan inisiatif, dasar baharu kerajaan serta pencapaian yang diterima sepanjang tempoh ini selain menyajikan pengisian menarik yang membawa manfaat secara terus kepada rakyat.
Malah, pelbagai pengisian pentas telah disusun oleh semua kementerian dan agensi bagi memeriahkan suasana di Hall 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dengan pelbagai inisiatif yang dirancang, setiap pengisian di pentas ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk memajukan negara dengan penuh keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat. Dari sesi perbincangan hingga kepada perkongsian kejayaan, setiap langkah adalah bukti bahawa kemajuan dan kesejahteraan adalah matlamat utama dalam membangunkan Malaysia MADANI.
Program dua tahun ini memberi fokus kepada pencapaian yang membawa manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, menonjolkan kekuatan kolektif yang akan membentuk masa depan yang lebih sejahtera dan inklusif. – MalaysiaMADANI