Berita

Orang ramai dipelawa meriahkan 2TM di KLCC – TPM


ORANG ramai dipelawa untuk memeriahkan Program 2 Tahun MADANI (2TM) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program selama 3 hari yang bermula 22 hingga 24 November ini merupakan platform untuk rakyat terlibat secara langsung dalam usaha mereformasi kerajaan.

“Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan bersama-sama sertai pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung pada 22-24 November 2024 ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

“Inilah platform terbaik untuk rakyat terlibat secara langsung dalam usaha reformasi Kerajaan dan merasai sendiri manfaat inisiatif yang telah dirangka oleh Kerajaan MADANI,” katanya.

Program  anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan dirasmikan perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, 23 November ini.

Bertemakan Madani di Hati, Rakyat Disantuni, program berkenaan turut membentangkan laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan.

Sepanjang penganjuran program tersebut pelbagai aktiviti menarik disediakan  kepada pengunjung, selain itu agensi-agensi kerajaan akan membuka kaunter khas seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus.

Lebih menarik, program itu memberi peluang orang ramai mendapat barangan keperluan dengan tawaran harga menarik menerusi Jualan MADANI yang disertai 80 usahawan bermula 9 pagi hingga 6 petang sepanjang tiga hari.

Bagi penjawat awam pula mereka digalakkan  mendapat manfaat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menyediakan khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan, program penajaan dan penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).