Berita

Minggu Budaya Malaysia 2024 di China promosi pelancongan negara

MINGGU Budaya Malaysia 2024 di China yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjadi pemangkin kepada usaha mempromosi produk kebudayaan dan pelancongan negara.

Program yang berlangsung selama lima hari bermula 26 hungga 30 Jun ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang menonjolkan kekayaan dan keunikan budaya Malaysia.

“Antara tarikan utama termasuk demonstrasi makanan tradisional Malaysia seperti roti canai dan teh tarik, yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung proses penyediaan dan menikmati keenakan masakan Malaysia seperti kuih-kuih tradisional Malaysia,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, perasmian majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan bersempena 8th China-Eurasia Expo 2024 di Urumqi, Xinjiang, China.

Majlis berlangsung meriah dengan kehadiran 300 pengunjung termasuk tetamu kehormat luar negara antaranya TYT Sergei Batosh, Menteri Pertanian Republik Belarus; Sinisa Berjan, Duta Besar Bosnia dan Herzegovina ke China, Yu Ji, Naib Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Autimouse Xinjiang Ungur, serta Wu Feng, Pengarah Xinjiang Tourism Company.

“Selain itu, terdapat pameran diorama, demonstrasi kraftangan, aktiviti mencanting batik yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami dan mempelajari seni budaya Malaysia,” tambah kenyataan MOTAC.

Selain itu sesi Business to Business (B2B) dan promosi produk pelancongan Malaysia turut diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Islamic Tourism Centre (ITC).

Pavilion Malaysia itu juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional dan persembahan muzik.

Tambah MOTAC lagi, melalui pelaksanaan kesemua aktiviti ini diharap menarik minat lebih ramai pelancong dari China terutama dari wilayah Xinjiang untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.

“Ia juga menjadi platform untuk mempromosi dan memperkenalkan keunikan seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa sekaligus menguar-uarkan kempen Visit Malaysia 2026 di China,” katanya lagi. -MalaysiaMADANI