2 TAHUN KERAJAAN MADANI (2TM) DAN KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2024


































2 TAHUN KERAJAAN MADANI (2TM) DAN KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2024
PUTRAJAYA, 11 November 2024 – Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024. Program ini dijadualkan berlangsung mulai 22 hingga 24 November 2024 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
Objektif
Dengan tema “MADANI di hati, rakyat disantuni”, program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha-usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang telah diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada
rakyat terbanyak. Selain itu juga, ia bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat. Melalui laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan, program ini menggalakkan ketelusan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Kerajaan sentiasa fokus untuk mengangkat martabat rakyat dan negara. Justeru, program 2TM ini dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada rakyat, dengan menguar-uarkan pelbagai inisiatif serta dasar baharu kerajaan, serta keberkesanan inisiatif Ekonomi MADANI yang telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial. Kerajaan sentiasa prihatin dengan setiap maklum balas yang diterima sepanjang program dan menjadikannya asas dalam menilai keberkesanan dasar-dasar kerajaan. Input daripada rakyat dapat memantapkan lagi penambahbaikan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyesuaikan langkah-langkah pembangunan agar lebih relevan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
Selari dengan visi YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi dalam Perkhidmatan Awam, YBhg. Ketua Setiausaha Negara telah memperkenalkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam pada 10 September 2024. Berpandukan lima Teras Keberhasilan Reformasi, agenda ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam, dengan fokus kepada penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan, serta memperkasakan sinergi antara sektor awam dan swasta. Kerjasama di antara dua sektor ini adalah penting dalam meningkatkan keberkesanan reformasi. Pendekatan ini bertujuan memastikan sektor swasta turut serta dalam membantu memperkasakan perkhidmatan awam, dengan memberi sumbangan dalam inovasi, teknologi, dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien.
Sepanjang penganjuran konvensyen, beberapa sesi wacana yang melibatkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO) akan turut diadakan. Sesi ini merupakan wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus berdasarkan maklum balas pemain industri serta data dari kajian akademik di lapangan.
Konvensyen ini disasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengunjung khususnya peserta yang terlibat dalam rantaian perkhidmatan kerajaan bagi melaksanakan reformasi yang memacu produktiviti ke arah perkhidmatan awam berprestasi tinggi. Dengan penganjuran konvensyen ini, komuniti NGO, ahli akademik dan pendidikan tinggi, peniaga dan orang awam khususnya golongan belia diberi ruang dan peluang untuk terlibat secara langsung dalam usaha memperkukuh usaha reformasi perkhidmatan.
Penglibatan kementerian dan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam berkongsi serta memetakan success stories sepanjang dua tahun bersama Kerajaan MADANI. Pelbagai aktiviti akan diadakan untuk memastikan penglibatan aktif masyarakat dalam proses reformasi dan pembangunan negara seperti sesi interaktif bersama agensi kerajaan, reruai pameran yang menampilkan perkhidmatan terpilih serta padanan perniagaan (business matching). Aktiviti yang dirangka ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi akses kepada rakyat untuk lebih memahami dan mengambil manfaat daripada inisiatif kerajaan. Selain itu juga, pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang tiga hari program ini termasuk jualan MADANI, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, dan pengurangan saman trafik.
Majlis perasmian Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri pada 23 November 2024 (Sabtu), jam 11:00 pagi. Justeru, orang awam dijemput untuk mengambil bahagian serta memberi maklum balas terus kepada jentera kerajaan bagi tujuan penambahbaikan secara berterusan, di samping memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran program ini kelak.